
KOTA KINABALU – Seorang penjawat awam direman tujuh hari selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya dengan mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik ahli keluarganya.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, perintah reman sehingga 12 Oktober ini dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.
Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2021 hingga 2024 dengan menggunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kesemua 15 projek terbabit.
Projek kerajaan bernilai keseluruhan kira-kira RM2 juta itu dipercayai dilaksanakan sebuah syarikat milik salah seorang ahli keluarga suspek.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut SPRM.





