
RANAU – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 14 botol air ketum serta serbuk ketum dalam serbuan di sebuah perkampungan di daerah ini, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang hasil risikan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau serta maklumat daripada masyarakat setempat.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 14 botol mineral mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum, satu paket plastik mengandungi satu kilogram serbuk ketum dan sebuah dapur memasak yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
“Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tegasnya..
Dalam pada itu, Mursalin turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.
“Masyarakat berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ polis dengan menyalurkan maklumat awal bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan pantas.
“PDRM IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti seumpama ini demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222, manakala identiti pemberi maklumat dijamin kerahsiaannya.
Foto: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.





