
SANDAKAN – Penglibatan pelbagai aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam Operational Sea Training Exercise East 2/26 (OSTEX East 2/26) memperkukuh kebolehoperasian serta keupayaan tindak balas bersama dalam menghadapi pelbagai senario maritim.
Menurut kenyataan MAWILLA 2 pada Isnin, latihan berkenaan bertujuan menilai tahap kesiagaan dan kompetensi warga Armada Timur, selain memperkukuh keupayaan operasi dalam persekitaran sebenar.
“Sebanyak lapan kapal pelbagai kelas terlibat iaitu KD SELANGOR, KD RENCONG, KD SUNDANG, KD SRI JOHOR, KD GANAS, KD BAUNG, KD YU dan KD SRI GAYA, selain empat Fast Combat Boat (FCB).
“Latihan turut disokong sebuah helikopter AW139 daripada Skuadron 503 TLDM, dua pesawat HAWK daripada No. 6 Skuadron TUDM serta sebuah pesawat CN235 daripada No. 1 Skuadron TUDM,” kongsi kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, penglibatan aset udara dan laut menerusi pendekatan Force Integration Training (FIT) membolehkan prosedur operasi bersama diuji secara lebih menyeluruh.
“Keadaan ini sekali gus membantu memperkukuh kesepaduan tindakan dan meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman di perairan negara.
OSTEX East 2/26 dilaksanakan dalam tiga fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan, Fasa Laut dan Fasa Penutup.
“Latihan berkenaan turut menyediakan platform bagi mengenal pasti jurang keupayaan serta merumuskan pengajaran penting untuk penambahbaikan kesiagaan operasi dan mutu latihan TLDM pada masa akan datang.” jelasnya
Latihan yang berlangsung dari 28 September hingga 6 Oktober di perairan Zon Maritim Malaysia sekitar Sabah itu dilaksanakan Markas Pemerintahan Armada Timur dengan kerjasama Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).
Foto: Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2)







