
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memperkenalkan dan mendokong paradigma baharu menerusi Aspirasi Outcome-Based Integrity (OBI) atau Integriti Berasaskan Keberhasilan sebagai formula membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, aspirasi itu membuktikan tadbir urus berasaskan keberhasilan adalah formula paling ampuh dalam membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah.
“Menerusi OBI, setiap instrumen Governans, Integriti dan Antirasuah wajib membawa keberhasilan nyata.
“OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan fundamental, kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam serta peningkatan ketara tahap kepercayaan rakyat dan pelabur,” uajrnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 yang bertemakan ‘Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Menurut Hajij, tadbir urus tidak lagi bersifat reaktif, sebaliknya berasaskan formula 3P iaitu ‘Proactive, Predictive and Preventive’ dengan mencegah sebelum berlaku berdasarkan penilaian risiko nyata.
“Birokrasi yang tidak teratur adalah sarang paling subur bagi gejala rasuah dan wang rasuah rundat. Setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan ‘value for money’ yang maksimum terus kepada kesejahteraan rakyat, tanpa susut nilai di tengah jalan.
“Kerajaan Sabah terus komited melaksanakan tiga teras strategik, termasuk memperkasa digitalisasi, analisis data dan wawasan tingkah laku, selain menginstitusikan OBI dalam penilaian prestasi agensi.
“Menerusi pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah yang dipacu oleh inisiatif berasaskan keberhasilan, integriti bukan lagi slogan atau retorik moral semata-mata, tetapi teras utama yang memacu kejayaan pelan pembangunan SMJ.
“Integriti adalah enjin penggerak, memastikan setiap dana awam dan setiap dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan mahu pun penyelewengan,” tegasnya.

Tambah Hajiji, integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam adalah kunci utama kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), yang menggariskan Tadbir Urus Berintegriti sebagai salah satu daripada lima Pemboleh Daya Strategik utama.
“Dalam fasa baharu ini, aspek penyampaian perkhidmatan tidak lagi sekadar dinilai melalui laporan atas kertas, tetapi berdasarkan impak nyata terhadap kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru agar semua penjawat awam terus memperkukuh kerja berpasukan dan mempertahankan etika kerja yang tinggi,” katanya.
Sebagai rekod, lebih 2,500 peserta dari seluruh negeri menghadiri KITA 2026 yang berlangsung selama dua hari, mencerminkan kesatuan tekad kolektif dalam memperkukuh pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) yang tercetus sejak 2023.






