
KOTA KINABALU – “Ayuh Sabahan! Kita bangun bersama, bersatu berpadu. Kita jaga Sabah!” menjadi seruan kepada pimpinan dan ahli Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta STAR untuk memperkukuh kesatuan di peringkat akar umbi.
Naib Presiden KDM yang juga Ketua Bahagian KDM Sepanggar, Jumardie Lukman berkata, seruan itu membawa mesej perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan parti tempatan bagi memperjuangkan isu serta kepentingan Sabah.
Menurutnya, hubungan antara pimpinan di peringkat bahagian perlu terus diperkukuhkan supaya kerjasama yang dibina dapat diterjemahkan melalui program dan gerak kerja bersama.
Beliau melaungkan seruan itu bersama hadirin pada akhir Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Sepanggar yang dihadirinya bersama barisan kepimpinan KDM bahagiannya.
Turut hadir ialah pimpinan STAR Karambunai yang diketuai Datuk Stephen Teo bersama rombongan.
Kehadiran pimpinan ketiga-tiga parti itu mencerminkan usaha meneruskan hubungan dan memperkukuh kerjasama di peringkat bahagian.






