Segerakan intervensi sekolah selamat, bukan polemik atau medan tuduh-menuduh

PUTRAJAYA – Semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar, bukannya saling menuding jari susulan beberapa tragedi keselamatan di sekolah, termasuk kes buli, pergaduhan dan tragedi yang meragut nyawa.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, keutamaan sewajarnya diberikan kepada langkah intervensi dan sokongan terhadap pelajar yang berdepan masalah kesihatan mental atau berisiko mengalaminya.

Menurut beliau, kerjasama rapat antara sekolah, ibu bapa, kaunselor dan guru pembimbing perlu diperkasakan bagi memastikan pelajar yang memerlukan bantuan dikenal pasti lebih awal sebelum sesuatu tragedi berlaku.

“Pada saya, di saat kita sedang berhadapan dengan isu yang begitu mendebarkan, membimbangkan, ibu bapa rasa bimbang dengan sekolah, saya rasa fokus kita pada hari ini bukanlah menuding jari kepada mana-mana pihak

“Namun, kita memerlukan tindakan, khususnya untuk mengenalpasti, untuk mempunyai program intervensi, mempunyai kaunselor cekap dan mahir, mempunyai guru memiliki asas berkaitan kaunseling untuk membantu anak-anak yang didapati mempunyai isu kesihatan mental ataupun berisiko berhadapan dengan kesihatan mental.

“Anak-anak mesti dididik berani bersuara, mencari siapakah yang perlu mereka temui untuk menyelesaikan masalah mereka. Di sinilah pentingnya peranan kaunselor, guru-guru pembimbing, serta sekolah yang mempunyai pengetua-pengetua dan guru besar memberikan kepentingan isu-isu kesihatan mental kepada anak-anak kita,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, perbincangan mengenai keselamatan sekolah sering tertumpu kepada aspek fizikal seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keselamatan, kawasan berisiko, koridor tersembunyi serta ruang yang berpotensi menjadi lokasi berlakunya kes buli dan salah laku.

Namun, beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM memaklumkan, berdasarkan pola beberapa kejadian yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan kes membabitkan warga sekolah sendiri sama ada sebagai pelaku atau mangsa.

“Apakah sebenarnya sekolah kita secara fizikalnya tidak selamat, kawalan keselamatannya lemah, CCTV tidak cukup ataupun sebenarnya isu yang mendasari masalah ini bukan isu keselamatan tetapi isu kesihatan mental? Kalau kita meneliti kes-kes yang berlaku ini, kita akan akhirnya menjurus kepada isu kesihatan mental.

“Banyak indikator yang boleh kita gunakan untuk meneliti perkara ini. Soal pontengkah mereka, soal kemerosotan akademik, soal apabila tiba di sekolah menjadi pemalu, murung, tidak begitu minat dengan aktiviti sekolah, mungkin panas baran, menyendiri, atau selalu hilang tumpuan dalam kelas. Ini contoh-contoh bagaimana kita dapat mengenalpasti ada anak-anak yang sedang berhadapan dengan isu-isu kesihatan mental.  

“Sebelum sesuatu yang buruk berlaku, maka kita perlu segera mengenalpasti, memanggil, mendengar apa pandangan ataupun suara mereka, dan dari situ kita boleh melakukan pelbagai usaha untuk intervensi supaya peristiwa-peristiwa yang buruk, tragedi yang menyedihkan itu tidak akan berlaku lagi di dalam sekolah kita,” katanya.

Menurut beliau, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang diterbitkan Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2019.

Katanya, kajian itu turut mendapati anak muda dan remaja merupakan kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan mental, sekali gus menjadikan golongan itu tergolong dalam kelompok yang memerlukan perhatian khusus.

“Data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat satu juta orang ataupun 4.6 peratus penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas sedang mengalami kemurungan. Yang membimbangkan kita juga adalah didapati sejumlah 16.5 peratus masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 15 tahun,” katanya.

“Itu sebenarnya membimbangkan kita. Jadi harapan saya, kita harus kembali meneliti isu kesihatan mental anak-anak selain harus segera mewujudkan profil anak-anak kita. Kita harus mengenalpasti kumpulan mana yang sedang berhadapan dengan isu kesihatan mental serta risiko menghadapi kesihatan mental. Apakah intervensi yang patut kita lakukan segera?

“Sekolah, ibu bapa kena duduk dan berbincang dan menyelesaikan perkara itu.   Saya percaya ini bukan lagi soal melaksanakan dasar di peringkat kementerian. Ini bukan lagi untuk kita mewujudkan SOP baru. Ini bukan lagi untuk kita mengeluarkan surat kuasa baru, melantik jawatankuasa baru dan sebagainya. Pada saya, ini memerlukan tindakan-tindakan segera untuk kita memberi fokus kepada anak-anak kita yang sedang berhadapan dengan isu-isu kesihatan mental ,” katanya.

Related Posts

Kabinet akan teliti pandangan akademik mengenai RMK13 – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kritikan membina dan pandangan ahli akademik mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dibawa terus kepada Jemaah Menteri untuk diteliti, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Laporan awal kes Mohd Shuhaily dihantar ke AGC

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan laporan awal berhubung kes dakwaan kekasaran membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiga warga UNIMAS cipta sejarah di pentas nasional dan antarabangsa

Tiga warga UNIMAS cipta sejarah di pentas nasional dan antarabangsa

Projek jalan, parkir RM300,000 SMK Three Rivers siap sepenuhnya

Projek jalan, parkir RM300,000 SMK Three Rivers siap sepenuhnya

Sahsiah anak bermula di rumah, ibu bapa tidak boleh lepas tangan

Sahsiah anak bermula di rumah, ibu bapa tidak boleh lepas tangan

Fatimah harap lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon

Fatimah harap lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon

Wanita PBB perkukuh jentera, siap siaga awal hadapi PRN Sarawak

Wanita PBB perkukuh jentera, siap siaga awal hadapi PRN Sarawak

Pas cipta pelbagai naratif untuk kekal di puncak kuasa – Tajuddin

Pas cipta pelbagai naratif untuk kekal di puncak kuasa – Tajuddin