
KUALA LUMPUR – Malaysia perlu berunding dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlebih dahulu sebelum mengambil langkah menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam pendaftaran pelarian di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, rundingan itu penting bagi memastikan sebarang perubahan terhadap mekanisme sedia ada tidak menimbulkan persepsi Malaysia mengenepikan peraturan antarabangsa.
“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengenepikan peraturan antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus dikendalikan oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai langkah kerajaan untuk menghentikan UNHCR daripada mengeluarkan kad pelarian dan menyerahkan urusan itu kepada kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Anwar berkata, peranan UNHCR dalam pendaftaran pelarian ketika ini adalah sebahagian daripada isu legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu, justeru sebarang pindaan terhadap peraturan berkenaan memerlukan masa.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, kerajaan berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap UNHCR secara berperingkat susulan peningkatan keupayaan Malaysia menguruskan pelarian dan pencari suaka.
Mohamad berkata, langkah itu sebahagian daripada kajian semula terhadap operasi, skop dan fungsi pejabat UNHCR di Malaysia.
Beliau berkata, kajian berkenaan selaras dengan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang bertujuan memperkukuh mekanisme pengurusan pelarian yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu meneruskan rundingan dengan Myanmar bagi menangani isu pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara berkenaan.
“Kita mesti sedia berunding. Kita tidak ambil pendekatan seperti Amerika Syarikat (AS) atau Eropah yang keras, tidak mahu berunding sama sekali dengan Myanmar.
“Kita ambil pendirian secara bebas, berunding untuk menyelesaikan masalah dalam negara kita, yang jika tidak ditangani, akan merebak menjadi masalah keselamatan yang serius dalam kalangan rakyat,” katanya.







