
KOTA KINABALU – Kira-kira 10 orang maut akibat renjatan elektrik di Sabah setakat tahun ini, termasuk seorang kontraktor dan tiga penjawat awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Mohd Yaakob Jaafar, berkata angka itu tidak termasuk kejadian membabitkan haiwan ternakan.
“Setakat tahun ini, 10 nyawa boleh saya kata yang tewas (maut). Antara kejadian terbaharu membabitkan seorang kontraktor di Sandakan,” katanya.
“Tujuan hari ini amat penting supaya kita boleh memberikan banyak pendedahan dan kesedaran kepada semua rakyat di Sabah supaya tahu menghindar dan mengenal pasti risiko renjatan elektrik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Kempen Keselamatan Elektrik Orang Awam dan Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Sabah Electricity di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Dalam pada iu, Mohd Yaakob mengingatkan orang awam supaya tidak menyentuh atau menghampiri kabel elektrik yang jatuh, sebaliknya segera melaporkan keadaan berbahaya kepada pihak berkaitan.
Katanya, keselamatan perlu diberi keutamaan oleh semua pihak, termasuk warga kerja, kontraktor dan masyarakat.
“Jika tidak selamat, berhenti. Jika tidak pasti, tanya. Jika nampak bahaya, bertindak,” tegasnya.






