KUALA LUMPUR – Kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun, perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran peminat dari dalam dan luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perlumbaan itu sebagai kenangan yang cukup bermakna buat peminat sukan berkenaan dari seluruh dunia.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, aksi hebat yang disajikan semua pelumba dan pasukan turut menjadikan perlumbaan berprestij itu penuh debaran serta persaingan sengit.
“Terima kasih kepada seluruh pelumba dan pasukan atas aksi hebat yang disajikan buat peminat dari seluruh dunia sekali gus menjadikan perlumbaan di Sepang kali ini kenangan yang cukup bermakna,” katanya.
Anwar dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut menyampaikan trofi kepada pelumba serta pasukan yang mengungguli perlumbaan berkenaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Max Verstappen, Kimi Antonelli dan Lewis Hamilton serta pasukan Red Bull Racing atas kejayaan yang diraih.
Pada Julai lalu, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan kedua-dua negara.
Meskipun litar dibasahi hujan, kemeriahan di kawasan penonton tidak sedikit pun surut, sekali gus mencerminkan kerinduan peminat terhadap F1 selepas sembilan tahun sukan itu tidak singgah di Malaysia.






