
KUCHING – Polis menyiasat kejadian dua lelaki bermotosikal yang melanggar seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di Jalan Padungan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada 4 Oktober lalu.
Menurutnya dalam kenyataan rasmi pada Isnin, sebahagian kejadian turut dirakam orang awam dan rakaman berkenaan kemudiannya tular di media sosial.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu sementara siasatan dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, selain Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Menurut kenyataan itu, Seksyen 307 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, manakala Seksyen 186 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Seksyen 323 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Polis meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Aliff di 013-3115854.

