
PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk Kerajaan Persekutuan mengambil langkah konkrit dan holistik yang boleh dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027 bagi menangani penghijrahan doktor daripada sistem kesihatan awam yang semakin membimbangkan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr L Sivanaesan berkata, antara 2019 hingga 2023, seramai 3,494 doktor meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk 2,385 pegawai perubatan tetap dan 1,109 tenaga pakar.
“Peletakan jawatan dalam kalangan pakar meningkat sebanyak 57 peratus sepanjang tempoh itu, manakala kadar pengisian jawatan menurun daripada 96 peratus kepada 83 peratus.
“Malaysia kini berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar, manakala kekosongan jawatan jururawat kira-kira 18 peratus. Hanya 529 daripada jawatan siswazah perubatan yang ditawarkan pada Januari 2026 telah diisi.
“Data dibentangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen turut menunjukkan kekosongan jawatan di KKM meningkat ketara dari 10,419 pada 2017 kepada 54,362 (2024),” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Tambahnya, setiap jawatan yang tidak diisi menambah tekanan kepada tenaga kerja yang sudah pun terbeban dan ia berisiko menjejaskan lagi keupayaan sistem kesihatan awam untuk menyediakan rawatan berkualiti.
Sivanaesan berpendapat, tempoh perkhidmatan terdahulu di bawah skim kontrak juga perlu diambil kira dalam penentuan tempoh perkhidmatan dan kenaikan gaji.
“Apabila seorang pakar berpengalaman meninggalkan perkhidmatan, negara kehilangan lebih daripada sekadar seorang doktor iaitu pengalaman klinikal yang dibina selama bertahun-tahun, pengetahuan institusi dan keupayaan untuk melatih, menyelia serta membimbing generasi seterusnya.
“Doktor tidak seharusnya kehilangan tahun-tahun perkhidmatan yang bernilai serta peluang kemajuan kerjaya hanya kerana mereka memasuki sistem melalui skim kontrak,” katanya.

Oleh itu, Sivanaesan mencadangkan satu laluan yang telus dan berasaskan merit bagi membolehkan pakar berpengalaman dinaikkan ke Gred Khas atau Gred Utama C selepas sekurang-kurangnya lima tahun perkhidmatan yang memuaskan selepas pewartaan.
“Kenaikan pangkat tidak seharusnya berlaku secara automatik, jadi MMA mencadangkan penilaian yang berasaskan 80 peratus kriteria objektif dan boleh diukur serta 20 peratus penilaian profesional berstruktur.
“Menjelang tahun ke-10 selepas pewartaan, setiap pakar diiktiraf sebagai Pakar Perunding Perubatan sewajarnya melalui penilaian kenaikan pangkat secara rasmi, dengan keputusan serta alasannya dimaklumkan dengan jelas. Laluan yang serupa juga perlu diwujudkan bagi subpakar yang diiktiraf,” katanya.
Jelasnya, jawatan tetap memberikan jaminan kerjaya yang lebih bermakna buat doktor muda dan ia mampu menjadi asas kukuh kepada pengekalan tenaga kerja sistem kesihatan awam untuk jangka panjang.
“MMA turut memohon supaya tempoh perkhidmatan kontrak pada tahun-tahun sebelumnya diiktiraf bagi tujuan peningkatan gaji,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sivanaesan berkata, Belanjawan 2027 juga perlu menangani dasar-dasar yang menyukarkan doktor dan pakar membina kerjaya yang mampan dalam sistem kesihatan awam.
“MMA menggesa syarat melengkapkan tiga penilaian LNPT berturut-turut sebelum menjalani latihan subkepakaran dikaji semula, jawatan Simpanan Latihan disediakan dengan secukupnya dan elaun pakar diberikan bermula dari tarikh pewartaan.
“Selain itu, kadar bayaran tugas atas panggilan (on-call) yang adil diberikan kepada doktor yang menjalankan tanggungjawab pakar, kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) terdahulu dikekalkan bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Selain itu, pengaturan waktu kerja diselaraskan dengan standard 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), termasuk tempoh rehat yang terjamin selepas bertugas selama 24 jam secara berterusan,” katanya.




