
KUALA LUMPUR — Isu pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia perlu ditangani secara lebih tegas dan adil bagi mengelakkan masalah berkenaan terus membesar sehingga memberi kesan kepada keselamatan, politik dan fabrik sosial negara.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu Rohingya di Malaysia boleh disifatkan sebagai “bom jangka” yang sudah berulang kali meletup, justeru kerajaan perlu mengambil tindakan lebih menyeluruh dan berani.
“Rohingya di Malaysia adalah bom jangka, tetapi bom jangka ini sudah meletup dari tahun ke tahun. Kalau kita tidak tegas dan adil dalam bertindak, musibah yang lebih besar bukan setakat politik negara, tetapi fabrik moral Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika membahaskan Penyata Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq berkata Malaysia selama ini menerima pelarian atas dasar kemanusiaan, termasuk ketika perang Vietnam, dengan pendekatan bahawa mereka akhirnya akan ditempatkan semula di negara ketiga.
Menurutnya, pendekatan berkenaan berjaya kerana Malaysia tidak menanggung masalah penempatan pelarian dalam jumlah besar untuk tempoh yang berpanjangan.
Namun, katanya, keadaan berhubung komuniti Rohingya berbeza kerana terdapat dua janji yang menurutnya tidak tertunai, iaitu perkongsian tanggungjawab oleh negara jiran dan negara maju serta proses penempatan semula ke negara ketiga.
Beliau berkata jumlah pelarian Rohingya di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara lain di rantau ini, dengan angka rasmi sekitar 130,000 manakala jumlah tidak rasmi dianggarkan melebihi 200,000.
“Di Indonesia, kurang 2,600, Thailand kurang 500 dan India yang jauh lebih besar kurang 20,000. Ini menunjukkan janji tidak tertunai dan Malaysia seolah-olah menyerap segala masalah ini berseorangan,” katanya.

Syed Saddiq turut mempersoalkan kadar penempatan semula pelarian Rohingya dari Malaysia ke negara ketiga yang menurutnya masih rendah berbanding jumlah keseluruhan yang berada di negara ini.
Beliau berkata keadaan itu akhirnya meletakkan Malaysia dalam kedudukan sukar apabila negara terus menerima kritikan berkaitan pengurusan pelarian, walaupun Malaysia antara negara yang menanggung jumlah besar pelarian di rantau ini.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa kelemahan menangani isu berkenaan turut boleh memberi ruang kepada sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Katanya, Malaysia perlu mengelakkan daripada dilihat sebagai destinasi mudah bagi kemasukan pelarian melalui laluan tidak sah kerana keadaan itu boleh memberi insentif kepada sindiket untuk membawa lebih ramai individu masuk ke negara ini.
Beliau mengaitkan perkara itu dengan tragedi Wang Kelian yang pernah mendedahkan kewujudan kem transit dan kubur beramai-ramai di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
“Kalau tidak tegas bertindak, kita sedang memberi insentif kepada penyeludup untuk terus membawa ribuan atau puluhan ribu orang datang ke Malaysia. Mereka sanggup naik perahu dan merentas laut, tanpa mengira nasib mereka, yang akhirnya boleh dijual atau dibunuh,” katanya.
Syed Saddiq berkata Malaysia tidak seharusnya kehilangan sifat kemanusiaan, namun prinsip kemanusiaan perlu bergerak seiring dengan penguatkuasaan undang-undang dan kepentingan keselamatan negara.
Beliau mencadangkan supaya Parlimen menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu pengurusan pelarian secara menyeluruh, termasuk usaha membanteras sindiket penyeludupan manusia dan memperjelas tanggungjawab negara-negara lain.
“Kita perlu tegas bertindak sambil menunjukkan perikemanusiaan supaya kita dapat selesaikan masalah ini, tidak kira siapa pun kerajaan,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada janji negara maju untuk mengambil pelarian bagi tujuan penempatan semula.
“Kalau negara-negara Barat bertanya, tanggunglah bersama. Malaysia tidak boleh seorang diri menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Syed Saddiq berkata penyelesaian isu berkenaan memerlukan keberanian politik dan sasaran jangka panjang, termasuk usaha mengurangkan jumlah pelarian yang berada di Malaysia dalam tempoh 10 tahun melalui mekanisme penempatan semula, penghantaran pulang secara selamat serta pengurusan yang lebih tersusun.
Beliau bagaimanapun menegaskan pendekatan lebih tegas itu tidak bermakna Malaysia perlu mengetepikan nilai kemanusiaan.
“Bukan saya katakan Malaysia perlu hilang sifat kemanusiaan. Tetapi kalau kita tidak tegas dalam bertindak, masalah ini akan berlarutan dan akhirnya bom jangka ini akan menjadi bom nuklear yang menyebabkan situasi politik negara semakin parah,” katanya.
Malaysia ketika ini bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967. Kerajaan bagaimanapun telah menetapkan dasar baharu melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 bagi pengurusan pelarian dan pemohon suaka.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan juga sedang melaksanakan persediaan untuk sistem pendaftaran dan penentuan status pelarian melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), termasuk pembangunan pusat pengasingan pelarian dan pemohon suaka di Bidor, Perak.









