
BATU GAJAH – Kegiatan perjudian sabung ayam yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah pondok di kawasan Kebun Papan Durian Valley, Papan, di sini, kelmarin, dengan 41 individu ditahan.
Serbuan kira-kira jam 7 malam, 3 Oktober itu dijalankan Bahagian D7 Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (JSJ IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan membabitkan 40 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia, termasuk seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur selain pemilik premis berkenaan.
“Dua lagi individu dipercayai berperanan sebagai pengadil dan pembantu penganjur turut ditahan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan berkaitan aktiviti berkenaan serta wang tunai berjumlah RM114,211, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan perjudian tersebut.
Siasatan awal mendapati kegiatan perjudian berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak awal 2026, dengan jumlah pertaruhan dianggarkan mencecah RM20,000 bagi setiap pusingan.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 berkaitan kesalahan dalam perniagaan atau aktiviti melibatkan haiwan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi lelaki warga Indonesia yang ditahan pula, polis menyiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan berkaitan kemasukan, tinggal atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Peruntukan berkenaan membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain hukuman sebatan sehingga enam kali.
Mohd Alwi menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat,” katanya.







