
MUKAH – Kemahiran menghasilkan kraftangan tempatan perlu terus diperkasa bukan sekadar untuk memelihara warisan seni, malah berupaya menjadi sumber pendapatan sampingan yang mampu menjana ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, seni kraftangan tempatan mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berpotensi besar untuk dipasarkan dengan lebih meluas sekiranya digilap dengan betul.
“Kita mahu kemahiran seni kraftangan dalam kalangan warga Mukah ini terus disuburkan.”
“Selain mengekalkan warisan, pengukuhan bidang ini membuka peluang kepada masyarakat menjana pendapatan sampingan yang bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pertandingan Kraftangan (Membuat dan Menggubah Bunga daripada Kawat Bulu) sempena Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah pada Jumaat.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Pada majlis itu, Hanifah turut meluangkan masa meninjau pameran hasil kraf peserta tempatan yang menampilkan kreativiti serta kehalusan seni gubahan bunga menggunakan kawat bulu.
Sambil memuji ilham dan kesungguhan para peserta, Ahli Parlimen Mukah itu turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka memeriahkan industri kraf komuniti.







