
SARATOK – Isu kehamilan remaja perlu ditangani secara bersepadu kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk perundangan, kesihatan, sosial, keselamatan, pendidikan, kewangan, kebajikan, status perkahwinan dan dokumen pengenalan diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pendekatan menyeluruh penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan golongan remaja, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang selamat serta bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Peringkat Bahagian Betong 2026 di Dewan Sri Semerbak, SMK Bahasa Malaysia Saratok, pada Selasa.
“Program KAPS diperkenalkan sebagai program intervensi sosial berbentuk jangkauan secara bersepadu dengan penglibatan pelajar sekolah, ibu bapa, pendidik, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.
“Penganjuran program ini dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan keupayaan pelajar dalam membuat keputusan yang selamat serta bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, program itu juga diharap dapat memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, agensi berkaitan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta komuniti setempat.
Menurut Mohamad, sejak KAPS mula dilaksanakan pada 2016, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak dengan kerjasama anggota Jawatankuasa Kehamilan Remaja Sehenti (OSTPC) telah menjalankan 83 siri program di sekolah menengah serta empat siri di sekolah rendah.
Jelasnya, impak positif inisiatif tersebut dapat dilihat apabila kes remaja hamil yang masih bersekolah menunjukkan penurunan daripada 142 kes pada 2016 kepada 63 kes pada 2023.

Bagi tahun 2026, kerajaan negeri turut menetapkan pelaksanaan 14 siri KAPS selain memperkenalkan KAPS Komuniti bagi memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menangani isu tersebut.
Program di Saratok itu dianjurkan bersama oleh KPWK Sarawak, Pejabat Daerah Saratok dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok.
Antara agensi yang menjayakannya ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Pertubuhan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Saratok, Pejabat Agama Islam Bahagian Betong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Betong dan Jabatan Penjara Malaysia Sibu.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, wakil PPD Saratok serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.
Foto: Facebook ADUN Kalaka






