
LUNDU – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Lundu meraikan ulang tahun penubuhannya yang ketujuh menerusi majlis makan malam yang menghimpunkan barisan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sambutan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Majlis berkenaan menjadi wadah untuk anggota PVATM Cawangan Lundu mengeratkan hubungan serta menghargai sumbangan veteran yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.
Selain itu, penganjuran tersebut mengetengahkan semangat persaudaraan dan kesukarelawanan dalam kalangan anggota, di samping mengukuhkan interaksi sesama veteran serta komuniti setempat.
PVATM merupakan antara pertubuhan rasmi yang mewakili komuniti veteran ATM di negara ini, dengan aspek kebajikan ahlinya sentiasa diberi perhatian melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan.






