PUTRAJAYA – Jemaah Menteri menzahirkan doa agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan kesihatan yang baik ketika beliau kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Jemaah Menteri mendoakan kesihatan Tun Dr Mahathir yang kini berada di dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati atas sumbangannya kepada negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, ucapan takziah turut disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepada Anwar dan Dr Mahathir menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada Isnin lalu pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Beliau antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum meneruskan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Selain dikenali sebagai isteri dan pendamping Dr Mahathir selama 70 tahun, Allahyarhamah turut meninggalkan sumbangan dalam usaha memperkasakan kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat.


