
PUTRAJAYA – Usaha pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana di Nepal dipercepat menerusi persetujuan kerajaan negara berkenaan untuk membantu Malaysia dalam urusan terbabit.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dimaklumkan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan mereka semalam.
Katanya, perkembangan itu membolehkan kedua-dua negara mengambil tindakan lanjut bagi mempercepat proses menentukan status rakyat Malaysia terbabit.
“Perdana Menteri Nepal memaklumkan persetujuan untuk membantu mempercepat proses pengesahan status bagi 55 orang rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikesan akibat daripada bencana yang berlaku di Nepal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Anwar seterusnya mengarahkan supaya perbincangan lanjut diadakan dengan pihak berkuasa Nepal pada kadar segera.
“Jadi Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal pada kadar segera bagi mempercepat proses pengesahan berkenaan,” katanya.
Jelasnya, proses itu turut membabitkan aspek perundangan dan mahkamah di Nepal.
“Ia ada membabitkan aspek-aspek perundangan dan mahkamah, maka Peguam Negara ditugaskan untuk mempercepat proses berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Nepal dilaporkan mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani status individu yang masih belum dapat ditentukan susulan bencana di negara itu.
Wisma Putra memaklumkan langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.




