PUTRAJAYA – Tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu di sebalik pertemuan pemimpin kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka malam tadi.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut mengakui tidak menerima sebarang maklumat mengenai pertemuan berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.
Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik akan diputuskan melalui majlis presiden gabungan itu.
“Setakat ini, kita tunggu majlis presiden. Belum ada apa-apa perkembangan. Saya belum terima apa-apa maklumat. Berdasarkan laporan media, ia hanya sesi makan malam.
“(Pertemuan itu) tak dibincangkan dengan saya. Saya tak hadir, saya tak ada maklumat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP), pada Selasa.
Pada Isnin, pertemuan tertutup antara pemimpin PH dan Bersatu di Melaka malam tadi mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan bermulanya rundingan awal kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Antara pemimpin PH yang hadir ialah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi Amanah, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat serta Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong.
Manakala Bersatu diwakili Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Datuk Seri R. Sanjeevan dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal menegaskan, tiada sebarang rundingan rasmi berlangsung sebaliknya menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Banda Hilir.
Menurutnya, pertemuan antara Bersatu dan PH sekadar sesi bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman politik.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya akan menggunakan formula PH Plus pada PRN dengan bekerjasama parti lain yang sehaluan namun setakat ini tidak melibatkan Barisan Nasional (BN).
Katanya, perbincangan dengan Bersatu mengenai kerjasama politik masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad, dengan rundingan berpandukan ketetapan Majlis Presiden PH.








