
KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi perlu memberi perhatian lebih serius terhadap kajian masa depan sebagai satu disiplin ilmu dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini tidak banyak universiti khususnya di negara Islam memberi tumpuan kepada penyelidikan bidang berkenaan.
Menurut beliau, langkah UIAM memberikan perhatian terhadap bidang berkenaan adalah tepat dan diperlukan ketika dunia berdepan perubahan pesat termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital serta teknologi baharu.
“Berapa banyak universiti yang benar-benar mengambil kajian masa depan sebagai satu disiplin? Pada pandangan saya, perkara ini membimbangkan.
“Perbincangan mengenai masa depan juga tidak seharusnya terbatas kepada kelompok tertentu, sebaliknya perlu melibatkan pelajar, komuniti akademik dan masyarakat secara menyeluruh.
“Kajian masa depan bukan hanya berkaitan usaha mencipta lebih banyak teknologi, mempercepat inovasi atau meningkatkan persaingan, tetapi turut menuntut pertimbangan mengenai bentuk kemajuan yang wajar dikejar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Masa Depan Antarabangsa (IFC) 2026 di Dewan Utama, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menaruh harapan terhadap peranan UIAM dalam memperluas perbincangan dan penyelidikan berkaitan kajian masa depan secara lebih serius.
UIAM sebelum ini menubuhkan Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa (IIFS) sebagai pusat kajian khusus dalam bidang masa depan dan strategik.
Penubuhannya turut mendapat perhatian Anwar yang menekankan kepentingan bidang berkenaan sebagai cabang ilmu yang serius dan relevan dalam menghadapi cabaran ekonomi serta kemajuan teknologi.







