
KUALA LUMPUR – Kemajuan teknologi mesti bergerak seiring dengan sifat kemanusiaan dan moraliti walaupun tumpuan wajar diberikan kepada bidang sains dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sifat tersebut tidak boleh sama sekali diabaikan dalam membentuk generasi masa depan yang berkualiti dan lebih baik.
Menurut beliau, perbincangan mengenai AI, transformasi digital, teknologi baharu termasuk transisi tenaga tidak boleh hanya dihadkan kepada bahasa algoritma, kuasa pemprosesan komputer serta daya saing ekonomi sahaja.
“Kita tidak boleh memberi tumpuan kepada sains baharu, teknologi, dan AI ini, tetapi mengabaikan penderitaan dan penghinaan terhadap saudara sesama manusia kita yang sedang menanggung azab di Gaza dan Tebing Barat.
“Daripada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hingga ke ribuan sesi lain, kita bercakap tentang pembunuhan beramai-ramai (genosid), pembunuhan kejam orang yang tidak berdosa tanpa belas kasihan, yang dibantu oleh teknologi autonomi.
“Jadi, apabila kita berdepan dengan cabaran ini, saya percaya perbincangan tidak seharusnya mengetepikan penyalahgunaan teknologi termasuk AI yang boleh melunturkan sifat kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Persidangan Masa Depan Antarabangsa (IFC) 2026 di Dewan Utama, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemajuan teknologi memerlukan perbincangan mengenai bahasa etika, sudut pandang falsafah bagi membolehkan ia bergerak seiring dengan sifat kemanusian, moraliti dan teologi.
“Malaysia perlu menjadi terkehadapan dalam teknologi baharu kerana negara ini adalah destinasi sangat penting untuk pelaburan sektor berkenaan seperti semikonduktor, AI dan pusat data.
“Bagaimanapun, dalam mengejar kemajuan teknologi, Malaysia tidak boleh kehilangan identiti, moral dan etika,” katanya.
Tambahnya, kerajaan serta institusi mesti memberikan sokongan yang diperlukan dalam membolehkan kajian masa depan tidak terpisah dengan cabaran asas dihadapi masyarakat masa kini.
“Ia melibatkan isu ilmu pengetahuan, isu dibincangkan hari ini iaitu teknologi baharu dan tradisi, isu kebimbangan masyarakat serta masalah ketidaksamarataan dalam komuniti.
“Masyarakat termasuk orang awam tidak menganggap ini (kajian masa depan) sebagai cabaran utama kerana perselisihan di luar sana masih berkisar isu perkauman, jurang antara kaum, kelangsungan hidup satu kaum berbanding yang lain saja.
“Pada saya, perjuangan sebenar adalah di sini. Isu ilmu teknologi baharu dan masa depan,” katanya.







