
SEREMBAN – Beberapa bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mula tiba di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), di sini, pagi ini bagi proses rakaman keterangan oleh pihak polis.
Bekas Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dilihat tiba kira-kira jam 10.05 pagi.
Kira-kira 16 minit kemudian, ADUN Serting, Fairuz Isa turut tiba di bangunan berkenaan pada jam 10.21 pagi.
Difahamkan, proses merakam keterangan 10 bekas Exco itu akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Proses berkenaan sebelum ini dijangka bermula kira-kira jam 11 pagi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim turut difahamkan hadir di lokasi berkenaan.
Turut kelihatan ialah bekas ADUN Juasseh, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid.
Bagaimanapun, tujuan kehadiran Ismail dan Bibi Sharliza masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada mereka turut terbabit dalam proses merakam keterangan berkenaan.
Skop siasatan polis berhubung perkara itu juga masih belum diketahui.
Sebelum ini, pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan ditarik balik atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pihak Istana memaklumkan tindakan itu diambil selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan dan ikrar taat setia kepada pemerintah negeri yang dilafazkan pada 7 Ogos lalu.
Penarikan balik pelantikan berkenaan susulan kenyataan bersama 10 Exco terbabit yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan.






