
PUTRAJAYA – Allahyarhamah, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali Yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi, akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dilaksanakan dan dibantu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Menurut beliau, kerajaan akan memastikan segala urusan berkaitan pengebumian Allahyarhamah dapat dilaksanakan dengan penuh penghormatan.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keputusan itu dibuat sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar Allahyarhamah kepada negara sepanjang hayatnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan supaya roh Dr Siti Hasmah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi.
“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Allahyarhamah yang berusia 100 tahun itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Jenazah Dr Siti Hasmah akan dibawa ke rumahnya di The Mines, Seri Kembangan untuk dimandikan sebelum dikebumikan.
Beliau yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 yang merupakan antara wanita Melayu terawal negara bergelar doktor, genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarhamah banyak menyumbang kepada penjagaan kesihatan ibu dan anak, terutama di kawasan luar bandar.
Dr Siti Hasmah dikenang sebagai lambang kesederhanaan, kebijaksanaan dan kasih sayang selain memiliki keperibadian yang lembuh serta berwibawa.







