Jangan salahkan RoS jika masalah bermula dalam PN – Mahfuz

PARTI Amanah Negara (Amanah) menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menyalahkan kerajaan atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan terhadap gabungan itu yang didakwa berpunca daripada kemelut dalaman.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, beliau hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa agensi kerajaan digunakan untuk menindas pihak lawan serta memberi amaran bahawa kerajaan pada suatu hari nanti mungkin berada di pihak pembangkang.

Menurutnya, persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa masalah dalaman PN yang disusuli aduan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS menyebabkan kerajaan pula dipersalahkan.

“Yang membuat aduan ialah Bersatu, yang diminta memberikan penjelasan ialah PN, tetapi kerajaan pula yang dituduh menindas.

“Ini seperti rumah sendiri yang retak, tetapi jiran pula dituduh memecahkan dinding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, RoS sebelum ini menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan kepada PN bukan merupakan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada PN untuk memberikan penjelasan terhadap aduan yang dikemukakan.

Beliau berkata, perintah penggantungan aktiviti pula dibuat berdasarkan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

“Kalau Pas dan PN yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, jawablah notis tersebut dengan mengemukakan penjelasan, dokumen dan bukti serta gunakan proses undang-undang yang tersedia.

“Jika tidak bersetuju dengan tindakan RoS, PN juga mempunyai hak untuk mencabarnya melalui proses undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan semua pihak supaya menghormati prinsip undang-undang dan institusi negara tanpa mengira kedudukan politik.

Katanya, kedudukan seseorang dalam kerajaan boleh berubah pada bila-bila masa dan prinsip undang-undang perlu dihormati sama ada ketika berada dalam kerajaan mahupun pembangkang.

“Kalau benar yakin tidak bersalah, jawab notis. Kalau tidak bersetuju, cabar melalui undang-undang. Kalau ada bukti wujud konspirasi, bentangkan bukti.

“Jangan menukar persoalan undang-undang menjadi cerita penindasan politik sebelum proses itu selesai,” katanya.

Menggunakan perumpamaan, Mahfuz berkata PN tidak sepatutnya “menyalahkan cermin” jika masalah yang dihadapi berpunca daripada keadaan dalaman organisasi sendiri.

“Cermin tidak mencipta jerawat, cermin cuma menunjukkan apa yang ada. Yang perlu dirawat bukan cermin, tetapi masalah yang berlaku.

“Kalau masalah bermula dalam rumah PN, selesaikanlah keretakan dalam rumah itu. Jangan kerajaan pula dituduh membakar rumah yang sedang retak,” katanya.

Related Posts

Pas Pulau Pinang bawa sentimen ‘ummah’, Fawwaz tekan UMNO isu jawatan

KENYATAAN Pas Pulau Pinang yang menuduh UMNO negeri “memilih kerusi, bukan penyatuan ummah” lebih menyerupai tekanan politik terhadap akar umbi UMNO daripada perbahasan jujur mengenai kepentingan rakyat Pulau Pinang. Kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH mahu islah institusi, bukan soal Najib semata-mata – Fahmi

USAHA Pakatan Harapan (PH) dalam politik bukan semata-mata berkisar kepada individu tertentu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya lebih besar kepada usaha melakukan islah dan memperbaiki…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM