
PAPAR – Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan tambahan subsidi elektrik kepada Sabah susulan peningkatan kos bahan api diesel bagi penjanaan elektrik.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rizab simpanan elektrik Sabah kini mencapai 19 peratus dan dijangka meningkat kepada 26 peratus menjelang akhir tahun.
“Dengan siapnya beberapa lagi stesen janakuasa maka rizab simpanan itu akan meningkat kepada 26 peratus. Itu dari segi aspek penjanaan.
“Tetapi ada cabaran-cabaran lain yang perlu dilaksanakan lagi. Kita faham sekarang berlaku kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan kepada kenaikan bahan api termasuklah diesel.
“Di Sabah ini, kita masih bergantung kepada bahan api diesel untuk penjanaan dan juga pengagihan bekalan elektrik ke seluruh peringkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PPU Benoni 33/11kV Papar, di sini, pada Khamis.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, peningkatan kos diesel akan memberi implikasi terhadap keperluan subsidi elektrik yang dijangka mencecah ratusan juta ringgit.
“Jadi saya selaku Ahli Parlimen Papar ingin merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pemberian subsidi elektrik tambahan kepada kita di Sabah ini untuk tahun ini disebabkan oleh kenaikan kos bahan api.
“Walaupun kuasa kawal selia elektrik telah diambil alih kerajaan negeri pada 2024, Kerajaan Persekutuan masih menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah dan komitmen itu amat dihargai,” jelasnya.
Tambahnya, bantuan berterusan wajar dipertimbangkan sepanjang tempoh transformasi sektor elektrik Sabah yang memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan.
“Kerajaan negeri baharu mengambil alih kuasa kawal selia selama dua tahun, sedangkan sebelum ini Kerajaan Persekutuan memegang kuasa kawal selia selama lebih 40 tahun.
“Jadi, isu legasi sudah tentu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh singkat, sama ada lima atau 10 tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kesinambungan subsidi juga perlu mengambil kira sumbangan Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.
“Jadi kita harap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi berterusan, bukan hanya tahun ini, bukan hanya ditingkatkan tahun ini, tetapi jumlah yang berwajarlah.
“Mungkin kalau transformasi sudah bertambah baik, boleh sedikit sebanyak dikurangkan dan sebagainya, tetapi masih lagi perlu subsidi itu beyond tahun 2030,” ujarnya.
Sabah tidak mempunyai loji janakuasa berasaskan arang batu, selain mengekalkan kira-kira 63 peratus kawasan negeri dilitupi hutan.





