
HANGZHOU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan Malaysia-China bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya berkembang menjadi persahabatan yang berteraskan kepercayaan dan keyakinan.
Perdana Menteri berkata, asas berkenaan menjadi antara faktor Malaysia memberi kepentingan besar kepada hubungan dengan China dan kepimpinan Presiden Xi Jinping, termasuk dalam aspek pembangunan, tadbir urus serta usaha memperjuangkan kemakmuran bersama.
“Malaysia menghargai persahabatan yang terjalin dengan China, terutama apabila kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai perkara.
“Hubungan ini melangkaui sekadar hubungan diplomatik biasa. Ia dibina atas kepercayaan dan keyakinan.
“Kita memerlukan rakan yang menghargai persahabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai ucapan balas kepada ucapan alu-aluan Perdana Menteri China, Li Qiang, sebelum mesyuarat dua hala kedua-dua pemimpin di Rumah Tetamu Negara, West Lake, di sini, hari ini.
Pertemuan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Anwar ke Shanghai dan Hangzhou yang berakhir hari ini.
Turut serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Anwar berkata, hubungan Malaysia-China juga sering menjadi perhatian pihak luar, termasuk berkaitan pendirian Malaysia terhadap hubungan dengan China dan isu Laut China Selatan.
Katanya, Malaysia memahami persoalan yang sering dibangkitkan mengenai hubungan kedua-dua negara, namun pendirian kerajaan berasaskan kepentingan bersama serta hubungan persahabatan yang sudah lama dibina.
“Premier Li Qiang, terimalah dengan penuh ikhlas bahawa kami menghargai persahabatan ini dan melihat anda menghormati komitmen ini,” katanya.
Anwar berkata, kehadirannya di Hangzhou bukan sekadar untuk membincangkan hubungan dua hala, sebaliknya turut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkara yang lebih substantif.
Terdahulu, Li Qiang berkata terdapat ruang besar untuk Malaysia dan China memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan digital, kemahiran vokasional serta sains dan teknologi.
Katanya, kerjasama berkenaan mampu memberi sumbangan baharu kepada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-China, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau turut menyentuh lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu yang disifatkannya membuka tirai kepada fasa baharu hubungan China-Malaysia.
“Pihak China sentiasa meletakkan pembangunan hubungan dengan Malaysia sebagai hal





