
TAWAU – Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada Khamis, atas enam pertuduhan berkaitan tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana berjumlah RM29,440.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Menurut pertuduhan, tertuduh pertama, Mohamad Ihsan Said, 42, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24( 2) Akta yang sama.
Mohamad Ihsan didakwa dengan sengaja memberikan kepada seorang ejen iaitu Pembantu Pegawai Pertahanan Awam, Joeny Marcus, dokumen Lampiran M iaitu Rumusan Tuntutan Elaun Penugasan Daerah Lahad Datu Negeri Sabah.
Dokumen berkenaan didakwa mengandungi butiran material palsu berkaitan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut bagi bulan November dan Disember 2022 serta Januari 2023.
Bagi pertuduhan pertama, ia membabitkan tuntutan berjumlah RM9,600, pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing RM9,920 setiap satu yang mana sebenarnya jumlah jam bertugas pada tuntutan lebih daripada jumlah jam bertugas yang dilaksanakan.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat RELA Negeri Sabah, Kota Kinabalu, masing-masing pada Disember 2022, Januari 2023 dan Februari 2023.
Sementara itu, tertuduh kedua, Radzmil Saadan, 38, turut menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 18 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, Radzmil didakwa bersubahat dengan Mohamad Ihsan dengan mengambil tindakan menyemak borang tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana terbabit yang pada pengetahuannya adalah dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya (majikan).
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan RM3,000 didepositkan ke akaun mahkamah bagi kesemua pertuduhan serta seorang penjamin tempatan.
Mereka turut diperintahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan, perlu melapor diri di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan dan pasport antarabangsa mereka turut diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan bagi sebutan serta pengurusan kes mengikut Seksyen 51(A) Kanun Tatacara Jenayah, manakala perbicaraan ditetapkan pada 19 dan 20 November 2026.





