
PENGGANTUNGAN semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dilihat berlaku ketika hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas masih berdepan keretakan yang belum menemui noktah, kata Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara itu berkata, pergolakan antara kedua-dua parti bukan perkara baharu, malah beberapa perkembangan sebelum ini menunjukkan masalah dalaman PN masih belum diselesaikan.
Menurutnya, antara perkara yang mencetuskan ketegangan ialah pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kedudukan Bersatu dalam PN sebelum ini, selain pertikaian mengenai kepimpinan dan keputusan gabungan berkenaan.
“Pas tidak begitu menyukai Bersatu. Antaranya berkaitan tindakan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan menggantung pergerakan PN selama beberapa bulan kerana tiada kepimpinan.
“Persoalannya, siapa yang menyebabkan keadaan itu berlaku? Ia berpunca daripada masalah dalaman mereka sendiri apabila berlaku pertikaian mengenai siapa yang akan menggantikan kepimpinan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.
Tajuddin berkata, ketegangan Bersatu-Pas turut dapat dilihat dalam perkembangan politik di Negeri Sembilan apabila Bersatu bertanding menentang PN, yang menurutnya antara lain berpunca kerana parti itu tidak diajak berbincang mengenai pembahagian kerusi.
Katanya, kerusi yang diberikan kepada PN oleh UMNO pula diagihkan kepada Malaysian Indian People’s Party (MIPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan Rakyat Negeri Sembilan (Wawasan).
“Sebahagian daripada mereka menang, tetapi kemenangan itu diperoleh atas tiket PN, dengan sokongan pengundi Barisan Nasional (BN) dan PN.
“Bersatu pula tidak mendapat bahagiannya dan akhirnya bertanding sendiri. Itu yang saya faham berdasarkan perkembangan yang dilaporkan media,” katanya.
Mengulas penggantungan PN, Tajuddin mempersoalkan mengapa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pas begitu mengambil berat mengenai tindakan RoS sedangkan sebelum ini wujud pendirian untuk mengetepikan Bersatu daripada gabungan itu.
“Bukankah mereka sendiri sebelum ini mahu mengetepikan Bersatu? Jika PN sudah digantung, tidak perlulah terlalu dipersoalkan kerana gabungan itu sendiri sudah berpecah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa tindakan RoS mempunyai kaitan dengan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya berasa pelik apabila Muhyiddin Yassin mengatakan tindakan itu mempunyai kaitan dengan strategi menghadapi PRN Melaka. Persoalannya, adakah RoS bertindak atas arahan pihak tertentu?
“Namun, saya tidak melihat bukti yang cukup untuk mengatakan demikian. Yang penting, siapa yang membuat aduan? Jika benar aduan itu datang daripada Bersatu, jangan salahkan pihak lain. Salahkan rakan dalam parti sendiri kerana Bersatu juga mempunyai hak untuk membuat aduan,” katanya.
RoS mengeluarkan notis kepada PN pada 22 September lalu di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi ruang kepada gabungan itu menjelaskan aduan yang dikemukakan Bersatu. RoS menegaskan notis itu bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN.
Susulan itu, RoS mengeluarkan perintah penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) akta sama, yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September. Aduan Bersatu antara lain berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Takiyuddin berkata PN tidak bersetuju dengan asas keputusan RoS dan sedang mengambil langkah melalui proses undang-undang bagi mencabar keputusan berkenaan.




