KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa perkembangan mengenai senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan dikongsikan pada 25 November ini.
Beliau yang juga Pengerusi GPS menyebut tarikh berkenaan ketika ditanya pemberita mengenai nama calon yang bakal diketengahkan gabungan itu pada pilihan raya kali ini.
Ketika diajukan pertanyaan lanjut sama ada perkara tersebut membabitkan kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Abang Johari memberikan respons ringkas dan meminta pihak media menunggu perkembangan seterusnya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sama ada 25 November merupakan tarikh pengumuman rasmi keseluruhan calon GPS atau sekadar perkongsian maklumat lanjut mengenai pemilihan calon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Mengulas mengenai barisan calon PBB, Abang Johari turut membayangkan kemungkinan berlaku perubahan dalam pemilihan calon, termasuk memberikan ruang kepada golongan muda.
“Beberapa nama pemimpin yang disebut sebelum ini tidak semestinya menjadi pengesahan bahawa mereka akan dikekalkan sebagai calon pada PRN berkenaan,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa penyebutan nama pemimpin tersebut adalah dalam konteks penglibatan generasi muda yang perlu diberikan latihan serta pengalaman dalam kepimpinan parti.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, penganjuran Konvensyen Khas PBB yang melibatkan beberapa zon di Sarawak memberikan peluang kepada kepimpinan parti untuk mendapatkan maklum balas ahli mengenai keadaan pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyifatkan PBB sebagai parti tunjang GPS yang bekerjasama dengan tiga parti komponen lain, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), dalam membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa semua parti komponen GPS telah memberikan mandat penuh kepada Abang Johari untuk membuat keputusan muktamad mengenai pemilihan calon gabungan itu.
PRN Sarawak ke-13 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November.



