
KUCHING – Seluruh jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) termasuk sayap wanita, pemuda dan belia, diingatkan supaya memperkukuh gerak kerja serta mendekati rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kesiapsiagaan jentera di semua peringkat penting bagi memastikan pencapaian dan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat diterangkan kepada rakyat menjelang pilihan raya.
“Seluruh jentera PBB telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan, dengan gerak kerja lapangan dijangka dipergiat selepas proses penamaan calon pada 28 November ini,” ujarnya.
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober lalu membuka fasa baharu kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, PRN kali ini bukan sekadar proses demokrasi untuk memilih kerajaan, malah menjadi ruang kepada rakyat menilai dasar serta pencapaian pentadbiran negeri sepanjang tempoh lalu.
Sehubungan itu, Fadillah merangkap Timbalan Perdana Menteri itu mahu jentera parti memberikan penerangan mengenai usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk perkara berkaitan perjuangan hak Sarawak pada peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan seluruh ahli dan kepimpinan PBB supaya tidak terlalu selesa meskipun yakin terhadap kekuatan serta kesiapsiagaan jentera parti.
“Perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran baharu kepada gerak kerja pilihan raya, khususnya risiko penyebaran kandungan palsu dan fitnah menerusi media sosial,” ujar Fadillah.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi yang boleh menghasilkan kandungan menyerupai wajah, suara dan penampilan seseorang sehingga mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak 2026 pada Ahad.
Sementara itu, Fadillah menekankan kepentingan penguasaan teknologi dalam kalangan jentera parti, terutama sayap belia dan golongan muda yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.
“Pendekatan kempen tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional seperti pemasangan poster dan kunjungan dari rumah ke rumah, sebaliknya perlu disesuaikan dengan perkembangan komunikasi digital,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan bersemuka dengan masyarakat di samping penggunaan media sosial bagi menyampaikan maklumat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan negeri.
Pada masa sama, Fadillah menyeru seluruh kepimpinan serta ahli PBB supaya memperkukuh muafakat dan kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau turut mengajak jentera parti di semua peringkat untuk terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjelang PRN Sarawak ke-13.


