NEW YORK – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan dunia mesti segera memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan berterusan Israel.
“Kita mesti memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza dengan segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa di New York, semalam, sambil menggesa pemimpin dunia supaya ‘memberi tekanan lebih besar terhadap Israel’.
Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza menyebabkan 84 peratus daripada keseluruhan struktur di wilayah itu telah mengalami kerosakan atau musnah, setakat Oktober 2025.
Walaupun gencatan senjata yang digerakkan Amerika Syarikat telah dicapai pada Oktober 2025, Israel bukan saja tetap meneruskan serangan udara, malah menyekat kemasukan peralatan yang menurut pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, diperlukan untuk pembinaan semula Semenanjung Gaza – yang belum lagi bermula hingga kini.
Menurut penilaian bersama dikeluarkan oleh PBB, Bank Dunia serta Kesatuan Eropah pada April lalu, Semenanjung Gaza dianggar memerlukan AS$71.4 bilion untuk menampung kos pemulihan dan pembinaan semula dalam tempoh dekad mendatang.
Dalam ucapan sama, Erdogan turut menggesa semua negara yang masih belum mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, supaya ‘mempertimbangkan semula’ perkara itu.
“Saya ingin meminta semua negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin, agar mempertimbangkan semula keputusan mereka itu,” katanya.
Kenyataan Erdogan itu menyebabkan delegasi Israel bertindak keluar dari dewan persidangan berkenaan.
Tahun lalu, Perancis menerajui satu sidang kemuncak khas PBB untuk mengiktiraf Negara Palestin yang menyaksikan 10 negara, termasuk Britain, Kanada dan Australia, mengambil langkah itu secara rasmi.
Ia membawa kepada jumlah sekitar 157 negara anggota PBB bertindak sedemikian, iaitu lebih empat perlima daripada keseluruhan keahlian badan antarabangsa itu.
Langkah berkenaan telah ditolak sekeras-kerasnya oleh Israel.





