
SANDAKAN – Polis sedang mengesan sebuah kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang lelaki warga Indonesia maut di Jalan Sandakan-Lahad Datu berhampiran Kampung (Kg) Segaliud, di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.25 malam ketika mangsa menunggang motosikal jenis SM Sport bernombor pendaftaran ST20B dari Batu 32 Sandakan menuju ke Kg Segaliud.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.
“Pembantu perubatan dari Hospital Kinabatangan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut George, Polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz di talian 089-242222 sambungan 127 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






