
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026, sekali gus memperkukuh peranannya dalam perkembangan persuratan serantau.
Menurut kenyataan UNIMAS, seminar anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) itu menghimpunkan pakar kesusasteraan Melayu dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
SAKAT 2026 bertemakan “Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera” berlangsung selama dua hari, 21 hingga 22 September di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.

Seminar berkenaan disertai lebih 200 peserta terdiri daripada ahli akademik, penggiat sastera dan pelajar.
Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr. Haji Jeniri Amir, yang turut menyampaikan ucap utama bertajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau”.
“Kecerdasan buatan (AI) mampu meniru gaya penyair serta menghasilkan metafora yang memukau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari, berkata SAKAT bukan sekadar wadah ilmu, malah menjadi medan bagi sastera menyuburkan nilai kemanusiaan yang kian terhakis.
“Saya berasa bangga apabila seminar kesusasteraan bertaraf antarabangsa ini berjaya dilangsungkan buat kali ke-30 dan julung kalinya di Bumi Kenyalang,” ujarnya.

Penganjuran SAKAT 2026 turut mengukuhkan peranan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS sebagai rakan strategik utama DBP di Borneo dalam bidang bahasa, sastera dan kebudayaan.
Turut hadir Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.



