
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dicekup polis di Saratok pada Isnin kerana disyaki terbabit dalam kes khianat dengan api yang dilaporkan di Sri Aman.
Suspek ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira jam 7.15 malam, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, Deputi Superintendan (DSP) Mathew Manggie berkata, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkenaan yang direkodkan menerusi Sri Aman Repot 3551/26.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 36 tahun berasal dari Sarikei dan telah menjalankan perniagaan kedai makan di Pekan Saratok sejak 10 tahun lalu.
“Hasil pemeriksaan air kencing terhadap suspek mendapati keputusan adalah negatif,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek untuk membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan pelbagai kes yang direkodkan di Saratok, Betong, Lingga, Siburan dan Kota Sentosa.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan suspek telah diserahkan kepada BSJD Sri Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan tangkapan itu, status kes berkenaan direkodkan sebagai selesai.





