
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan ketika berada di Penjara Sungai Buloh dengan berkongsi gambar lama ketika bertemu keluarganya di sebalik penghadang kaca.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar memuat naik gambar memaparkan beliau sedang berkomunikasi menggunakan telefon ketika sesi pertemuan bersama keluarga.
“Kenangan di Sungai Buloh. Bertemu keluarga di sebalik kaca, hanya melalui telefon.
“Momen yang kekal dalam ingatan,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut meninggalkan komen di ruangan hantaran berkenaan.
Seorang pengguna, Ruqayyah Abd Fatah mendoakan agar Anwar terus menerajui negara untuk penggal akan datang sambil menyifatkan tidak salah untuk mengenang kembali pengalaman lalu.
“Tak salah kita mengenang kenangan. Nabi Yusuf juga dari penjara ke pemerintah tertinggi Mesir,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Calvin Symons pula mengingatkan Anwar supaya tidak melupakan pengalaman dan perjuangan yang pernah dilalui.
“Don’t forget the struggles then. Don’t forget what you stood for. Don’t forget,” tulisnya.
Kenangan yang dikongsikan itu turut mengingatkan kembali pengalaman lawatan keluarga Anwar ketika beliau menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
Pada 2016, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak-anak serta cucunya memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan yang tidak membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan di penjara.
Keluarga ketika itu mendakwa mereka dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya boleh berkomunikasi melalui telefon semasa lawatan.
Rekod media pada 2015 turut melaporkan keluarga Anwar hanya dapat berkomunikasi dengannya menggunakan telefon melalui penghadang kaca ketika lawatan di Penjara Sungai Buloh.





