
KOTA SAMARAHAN – MOCA Resources Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa program pensijilan profesional dan peningkatan kemahiran berhubung aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, kerjasama strategik itu selari dengan keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang mewajibkan setiap majikan menitikberatkan persekitaran kerja yang selamat.
Menurut beliau, pemahaman mendalam terhadap undang-undang tersebut amat kritikal bagi memastikan setiap organisasi melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan.
“Melalui sinergi antara industri dengan universiti ini, UNIMAS akan memastikan kualiti latihan dan pensijilan yang ditawarkan menepati standard tertinggi. Ia juga dijangka memberi impak positif kepada pelajar yang mengikuti kursus berkaitan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Urusan MOCA Resources, Dr Ahmad Fauzi Abdul Samad berkata, syarikatnya yang pakar dalam pengendalian kursus OSH, khususnya bagi sektor minyak dan gas, menyasarkan penaiktarafan sijil sedia ada kepada status Sijil Profesional menerusi jalinan kerjasama itu.
Tambahnya lagi, kedua-dua pihak turut meneliti potensi untuk memperluas tawaran program akademik UNIMAS ke Semenanjung, terutamanya di Johor.
“Inisiatif ini bertujuan membuka peluang peningkatan pendidikan kepada pekerja dan anak Sarawak yang merantau di sana.
“Kita berharap kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran OSH, tetapi turut menjadi platform lonjakan taraf hidup pekerja menerusi kelayakan akademik bermula daripada peringkat Ijazah Sarjana Muda sehinggalah ke Doktor Falsafah (PhD),” ujarnya.






