
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mencadangkan penyelarasan antara agensi kerajaan bagi menambah baik syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta pusat urutan di Kuala Lumpur.
Hannah berkata, perkara itu dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi memastikan aspek pelesenan, penguatkuasaan, tenaga kerja dan keperluan industri dapat ditangani secara menyeluruh.
“Keahliannya akan melibatkan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban serta agensi berkaitan supaya isu pelesenan, penguatkuasaan, tenaga kerja dan keperluan industri dapat dilihat secara menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Hannah berkata, syarat pelesenan perlu lebih mudah difahami oleh pengusaha, namun standard serta integriti dalam industri berkenaan mesti terus dipelihara.
Pada masa sama, beliau menegaskan proses pelesenan perlu dilaksanakan secara telus tanpa ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah.
“Kita mahu syarat yang lebih mudah difahami oleh pengusaha tetapi standard dan integriti mesti dijaga. Proses mesti bersih dan tidak boleh ada ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” katanya.
Menurutnya, Kuala Lumpur menerima pelancong dari seluruh dunia, khususnya pelancong Muslim, sekali gus menjadikan kepakaran ITC penting dalam memastikan industri berkenaan turut mengambil kira keperluan pasaran pelancongan mesra Muslim.
Hannah berkata, usaha itu bertujuan memudahkan operasi perniagaan yang sah, memastikan agensi kerajaan bergerak secara bersama serta memelihara imej Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.



