
KINABATANGAN – Lebih 980,000 pokok telah ditanam di Kawasan Konservasi Sungai (Sg) Pin (SPnCA) sejak 2003 menerusi pelbagai usaha pemulihan dan kerjasama strategik dalam memelihara biodiversiti di kawasan berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, usaha pemuliharaan akan terus diperkukuh bagi memastikan kawasan konservasi itu kekal menjadi habitat penting kepada hidupan liar.
“SPnCA menjadi antara contoh terbaik bagaimana perlindungan alam sekitar boleh dilaksanakan seiring dengan pembangunan perniagaan, tanggungjawab sosial dan kepentingan masyarakat.
“Harapan kami apabila melihat kembali 30 tahun akan datang, kita bukan sahaja dapat melihat sejauh mana Kumpulan ini telah berkembang, tetapi juga sumbangan yang telah kita berikan dalam melindungi alam sekitar serta mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan, Datuk Zakaria Mohd Edris pada Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 anjuran bersama Kumpulan Sawit Kinabalu dan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) di SPnCA, di sini pada Isnin.
Menurut Hazem, antara inisiatif pemuliharaan yang telah dilaksanakan di kawasan itu termasuk pembinaan tiga jambatan hidupan liar, pemasangan sarang tiruan bagi burung kenyalang, pemantauan biodiversiti serta kerjasama penyelidikan.
“SPnCA turut dipilih sebagai tapak perintis Malaysia bagi Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) pada 2024 dan kini menjadi calon IUCN Green List, dengan pensijilan disasarkan pada 2028.
“Selain itu, kawasan berkenaan menjadi tapak perintis inisiatif Diplomasi Orang Utan (OUDip) yang dilaksanakan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

“Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada usaha melindungi orang utan di habitat semula jadinya, selain menjadikan spesies berkenaan sebagai duta pemuliharaan biodiversiti dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memelihara warisan semula jadi Sabah serta Malaysia,” kongsinya.
SPnCA yang berkeluasan 2,632 hektar kini merekodkan lebih 600 jenis tumbuhan, 28 jenis mamalia, 122 spesies burung dan 22 jenis ikan.




