
PEMBATALAN pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menghidupkan kembali persoalan mengenai kaedah penyelesaian krisis adat yang pernah disebut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan kemelut membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar dan kerajaan negeri kini memasuki tahap yang lebih serius, selepas sebelum ini tercetus pertikaian mengenai kesahan proklamasi bertarikh 19 April lalu.
Menurutnya, persoalan utama ketika ini ialah apakah sebenarnya penyelesaian yang dimaksudkan Mohamad atau Tok Mat apabila beliau sebelum PRN berkata BN mempunyai kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis berkenaan sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
“Tok Mat ketika kempen PRN menyebut BN mempunyai kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis ini, tetapi kaedah itu hanya akan diketahui selepas BN menang.
“Sekarang BN sudah menang dan membentuk kerajaan, tetapi krisis bukan semakin reda, sebaliknya semakin meruncing sehingga semua Exco dibatalkan pelantikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 24 Julai lalu, Mohamad dilaporkan berkata BN mempunyai kaedah terbaik berdasarkan pengalaman menguruskan krisis sebelum ini, namun enggan mendedahkan bentuk penyelesaian berkenaan sebelum mendapat mandat rakyat.
Ahmad Mursi berkata, keadaan itu menjadikan penjelasan mengenai formula berkenaan semakin relevan, khususnya selepas Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, keputusan itu dibuat selepas baginda mendapati semua Exco memungkiri sumpah jawatan yang dilafazkan pada 7 Ogos lalu, termasuk ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja serta mempertahankan Perlembagaan Negeri Sembilan.
“Ini bukan lagi sekadar pertikaian politik biasa. Ia sudah melibatkan hubungan antara kerajaan negeri, Institusi Diraja, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Sebab itu rakyat berhak mengetahui apakah jalan penyelesaian yang pernah dimaksudkan Tok Mat dan bagaimana BN melihat perkembangan terbaru ini,” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu menjadi lebih penting selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu menyatakan proklamasi bertarikh 19 April tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Dalam perkembangan sama, DKU menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan kerajaan negeri serta MMKN tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kedudukan baginda.
Ahmad Mursi berkata, percanggahan pendirian antara institusi terbabit memperlihatkan betapa pentingnya semua pihak kembali kepada kerangka Perlembagaan Negeri Sembilan dan proses undang-undang bagi mengelakkan krisis berpanjangan.
“Yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kerajaan negeri dan BN mahu bergerak selepas semua Exco dibatalkan pelantikan.
“Adakah ini sebahagian daripada formula yang pernah disebut atau kerajaan negeri sendiri kini berdepan keadaan yang tidak dijangka? Itu yang perlu dijelaskan,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan juga tidak wajar dilihat semata-mata daripada sudut pertukaran barisan Exco kerana akar permasalahannya masih berkait dengan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz.
“Kalau penyelesaian itu benar-benar ada, inilah masanya untuk rakyat melihat bentuknya secara jelas.
“Jangan sampai istilah ‘formula terbaik’ hanya menjadi slogan ketika kempen, sedangkan selepas menang, krisis menjadi semakin rumit,” katanya.
Dalam pada itu, isu pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut kembali menjadi perhatian susulan perkembangan berkenaan.
Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2024, Akmal berkata Pemuda UMNO akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang menyentuh agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.
Setakat ini, belum dapat dikesan kenyataan khusus Akmal berhubung pembatalan pelantikan semua Exco Negeri Sembilan.
Ahmad Mursi berkata, perkembangan seterusnya penting kerana ia akan menentukan sama ada krisis berkenaan dapat diselesaikan melalui saluran perlembagaan atau terus menjadi pertikaian politik yang berpanjangan.
“Selepas ini bukan sahaja siapa yang akan mengisi jawatan Exco menjadi persoalan, tetapi bagaimana keseluruhan kemelut ini hendak ditamatkan secara teratur dan mengikut undang-undang.
“Rakyat juga akan menunggu apakah penyelesaian yang pernah dijanjikan sebelum PRN itu benar-benar wujud dan akan dikemukakan,” katanya.





