
KEMELUT yang berlaku di Negeri Sembilan menjadi ujian kepada semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan parti politik lain untuk membezakan antara kepentingan parti, kerajaan serta institusi negeri.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, dalam situasi membabitkan pertikaian berkaitan institusi negeri dan tafsiran perlembagaan, semua pihak perlu mengutamakan kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat.
“Ini bukan sekadar ujian kepada satu parti, tetapi kepada BN, Pas, Wawasan dan aktor politik lain sama ada mereka mampu membezakan kepentingan parti dengan kepentingan kerajaan serta institusi negeri.
“Dalam keadaan sekarang, semua pihak perlu mengurangkan spekulasi, membentangkan dokumen dan fakta berkaitan serta membenarkan mekanisme perlembagaan dan undang-undang menentukan kedudukan sebenar,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.
Awang Azman berkata, perbezaan pendirian antara parti politik dalam menangani sesuatu kemelut tidak seharusnya menyebabkan kepentingan pentadbiran negeri diketepikan.

“Kerjasama antara parti yang mempunyai sejarah, ideologi dan kepentingan organisasi berbeza sememangnya akan berhadapan ujian apabila berlaku krisis besar seperti ini.
“Namun, ukuran paling penting kepada rakyat bukan siapa yang memenangi pertikaian politik, sebaliknya sama ada pentadbiran negeri terus berfungsi, keputusan kerajaan mempunyai kepastian undang-undang dan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata, parti politik perlu membezakan antara persaingan kepartian dengan tanggungjawab mereka memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan baik.
“Apabila kepentingan parti terlalu mendominasi, ia boleh menyebabkan isu yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran institusi dan undang-undang menjadi pertikaian politik.
“Dalam keadaan seperti ini, semua pihak perlu meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Menurutnya, persoalan berkaitan perlembagaan juga perlu diselesaikan melalui mekanisme undang-undang yang sewajarnya bagi mengelakkan kemelut berkenaan berlarutan.
“Semua pihak perlu kembali kepada dokumen, fakta dan peruntukan undang-undang yang berkaitan, bukannya bergantung kepada kenyataan politik semata-mata.
“Dengan pendekatan itu, perbezaan pandangan dapat ditangani secara lebih matang tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard, sebelum ini mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua anggota Exco berkuat kuasa serta-merta.
CheguBard mendakwa tindakan berkenaan perlu dilihat berdasarkan keseluruhan kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mempersoalkan asas perlembagaan pembatalan pelantikan terbabit.
Istana Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua anggota Exco selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan anggota Exco, selain Menteri Besar, memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan semua Exco berkenaan masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

