
ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menolak gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan tawaran peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dengan menegaskan kestabilan kerajaan bergantung kepada mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, gesaan sesetengah pihak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen tidak menggambarkan kedudukan sebenar Kerajaan MADANI ketika ini.
“Kestabilan sesebuah kerajaan ditentukan oleh mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, bukan oleh sentimen atau gesaan mana-mana pemimpin peringkat negeri. Kerajaan Perpaduan kekal memegang mandat tersebut.
“Pembubaran Parlimen ialah kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan alat tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal menggesa Anwar membubarkan Parlimen susulan Loke menawarkan peletakan jawatannya sebagai reaksi terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan berkenaan menolak dakwaan bahawa Kerajaan MADANI kini berada dalam keadaan “hampir karam”.
Beliau berkata, prestasi ekonomi negara menunjukkan keadaan sebaliknya apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
“Kerajaan yang ‘hampir karam’ tidak mungkin dapat mencatat pertumbuhan ekonomi sedemikian. Inilah kestabilan dasar yang dinikmati rakyat dan dipandang tinggi oleh pelabur,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, pilihan raya mengejut hanya berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik, selain boleh menjejaskan pelaksanaan program kerajaan yang sedang berjalan serta meningkatkan perbelanjaan negara.
Menurutnya, rakyat ketika ini memerlukan kerajaan yang terus memberi tumpuan kepada pentadbiran, pembangunan ekonomi dan penyelesaian isu kehidupan seharian, bukannya pilihan raya yang dicetuskan akibat perkembangan politik semasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan parti itu akan terus bersama kerajaan sehingga tamat penggal.





