
GOPENG – Program MADANI Kita (PMK) 2026 bukan sekadar platform menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan, sebaliknya menjadi medan memperkukuh komunikasi dua hala dengan memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan, mengemukakan isu setempat serta mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara lebih dekat.
Timbalan Ketua Pengarah (TKP) Pengurusan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Kafrawi Ridzuan Tarmizi, berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kerajaan bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah mendengar dan memahami keperluan sebenar masyarakat.
“Kehadiran kerajaan bukan sekadar untuk menyampaikan sesuatu kepada rakyat dan kerajaan juga hadir untuk mendengar,” katanya dalam ucapan pada PMK 2026 bersama-sama Komuniti Teja@Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng, di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja.
Kafrawi berkata, JKOM memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan rakyat, selain membawa suara dan pandangan masyarakat untuk perhatian kerajaan.
“JKOM bukan sekadar berfungsi sebagai penyampai maklumat. JKOM ialah penghubung antara dasar dengan rakyat dan komuniti, dan yang lebih penting, penghubung antara suara rakyat dengan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan komunikasi sehala tidak lagi memadai dalam persekitaran semasa, khususnya dalam era digital yang menuntut penyampaian maklumat secara pantas, tepat dan mudah difahami.
Katanya, pada masa sama, komunikasi kerajaan perlu memastikan rakyat berasa didengar, difahami dan tidak ditinggalkan.
Beliau berkata PMK turut mencerminkan pendekatan yang meletakkan rakyat sebagai rakan dalam pembangunan negara, bukannya sekadar penerima manfaat pembangunan.
“Rakyat bukan sekadar penerima manfaat pembangunan. Rakyat ialah rakan dalam pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam PMK disifatkan sebagai kekuatan utama program berkenaan kerana keperluan rakyat merangkumi pelbagai aspek dan tidak terhad kepada bidang sesebuah kementerian sahaja.
“Walaupun fungsinya berbeza, matlamat kita tetap satu iaitu memberikan perkhidmatan dan manfaat yang terbaik kepada rakyat. Inilah wajah sebuah kerajaan yang bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Kafrawi berkata, kejayaan sesuatu dasar juga tidak seharusnya diukur berdasarkan pengumuman atau pencapaian di atas kertas semata-mata, sebaliknya melalui manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
“Kejayaan sesebuah dasar bukan hanya apabila ia diumumkan kejayaannya apabila rakyat merasai manfaatnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat di DUN Teja, Parlimen Gopeng dan kawasan sekitar memanfaatkan kehadiran pelbagai kementerian serta agensi sepanjang PMK untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan, mengemukakan persoalan serta menyampaikan pandangan dan isu setempat.
Beliau berkata kejayaan PMK juga tidak wajar diukur berdasarkan jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya sejauh mana program itu memberi kefahaman dan keyakinan kepada masyarakat.
“Jangan kita ukur kejayaan PMK hanya pada berapa ramai yang hadir. Ukurlah pada berapa ramai yang pulang dengan kefahaman yang lebih jelas, keyakinan yang lebih kukuh dan harapan yang lebih tinggi,” katanya.
JKOM katanya, akan terus memperkukuh jambatan komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat menerusi pendekatan kerajaan menyampaikan, rakyat menyuarakan dan JKOM menghubungkan kedua-duanya.





