
IPOH – Tiga penunggang motosikal maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, di sini, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira 3.35 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.
“Dua penunggang motosikal lelaki berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun yang turut menerima rawatan kemudian disahkan meninggal dunia di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Najib berkata, sembilan lagi penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HRPB untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiga pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta urutan sebenar kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.




