
SANDAKAN – Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Alipudin Poyun dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Annabell@Suzienah Perian dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sandakan 1448 Hijrah/2026 Masihi hari ini.
Alipudin menerima pengiktirafan bagi kategori lelaki manakala Annabell bagi kategori wanita pada Majlis Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Sandakan yang berlangsung di Masjid Daerah Sandakan di sini.

Alipudin ketika ditemui media menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan itu yang disifatkannya cukup bermakna selepas usaha dan penglibatannya membantu memajukan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah berkenaan.
Sementara itu, Annabell menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk beliau terus menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau turut mendedikasikan pengiktirafan itu kepada keluarga, sahabat perjuangan, pemimpin serta semua pihak yang sentiasa menyokong usahanya selain menekankan peranan wanita sebagai penggerak pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara holistik serta inklusif.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata lebih 7,000 peserta daripada 53 penganjur menyertai sambutan berkenaan.

Beliau berkata, penyertaan itu amat memberangsangkan dan berharap sambutan Maulidur Rasul dapat terus menjadi wadah kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk menghayati serta mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW.



