
KOTA SAMARAHAN – Tiga penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan IC Design Competition 2025 (ICDC25) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kemenangan.
Pasukan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan itu terdiri daripada Martin Kennedy Wan Alexander Taylor, Mohamad Iszuanessrol Nasir dan Emmanuel Jawin Jerry Tanny.
Kejayaan mereka diraih menerusi inovasi Low Power Operational Amplifier (Op-Amp) yang kemudiannya diaplikasikan dalam prototaip Arduino Based Temperature Monitoring System.
Pasukan berkenaan turut mendapat bimbingan pensyarah merangkap penasihat pasukan, Dr Dayang Nur Salmi Dharmiza Awang Salleh.
Lebih menarik, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha selama setahun dua bulan yang melibatkan keseluruhan proses pembangunan litar bersepadu (IC), bermula daripada reka bentuk litar Op-Amp, reka bentuk susun atur, proses tape out sehingga peringkat pembungkusan cip.
Usaha itu akhirnya berjaya menghasilkan cip sebenar sebelum diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem prototaip yang dibangunkan pasukan terbabit.
Pencapaian tersebut sekali gus memperlihatkan keupayaan mahasiswa UNIMAS dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design), khususnya pembangunan litar berkuasa rendah yang mampu diterjemahkan daripada teori di peringkat cip kepada aplikasi dunia sebenar.
Kejayaan berkenaan turut membawa falsafah pasukan, “Daripada litar, kepada cip, daripada cip kepada aplikasi.”
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan prtandingan ICDC25 adalah anjuran SMD Sarawak Sdn Bhd.






