
MIRI – Program bantuan baik pulih rumah memberi peluang kepada penduduk yang memerlukan untuk menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut telah menyerahkan rumah yang telah selesai menjalani Kerja-kerja baik pulih kepada penerima.
Beliau berkata melihat penduduk kembali menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa merupakan antara makna penting di sebalik usaha berterusan membantu masyarakat setempat.
“Program bantuan ini tidak mengira kaum dan agama. Sekiranya anda mempunyai keperluan untuk membaiki rumah, jangan segan untuk menghubungi pasukan kami bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Ada keperluan, hubungi kami sahaja. Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu anda,” katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen untuk terus mendekati rakyat dan membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam mendapatkan kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Beliau turut menggalakkan penduduk yang memerlukan bantuan berkaitan kerja-kerja baik pulih rumah supaya menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang disediakan.





