
PUTRAJAYA – Prinsip dan pendirian kerajaan untuk membanteras rasuah serta salah guna kuasa kekal tidak berubah susulan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Lembaga Pengampunan tidak bermakna kerajaan akan berkompromi dalam usaha memastikan semua kes rasuah dibawa mengikut proses undang-undang.
Katanya, termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu yang masih berjalan, semuanya perlu diteruskan berdasarkan landasan undang-undang.
“Prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat. Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, keputusan berhubung pengampunan adalah bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Perlembagaan dan perlu diterima dengan baik.
“Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) hari ini.







