
KOTA BELUD – Generasi muda perlu memahami sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia bagi memastikan kebebasan yang diwarisi terus dihargai serta dipertahankan.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad berkata, penghayatan sejarah penting untuk menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda.
“Merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan asing. Walaupun penjajah sudah tiada, perkara yang perlu kita jaga selepas mencapai kemerdekaan ialah kebebasan yang dinikmati pada hari ini.
“Kemerdekaan ini perlu terus tersemat dalam diri setiap rakyat,” katanya semasa merasmikan Program Hasrat MADANI @ Komuniti Kampung Kayu Putih, di sini, pada Khamis.

Menurut Milus, kebebasan yang dinikmati generasi hari ini merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan masyarakat terdahulu yang berdepan pelbagai kesukaran ketika zaman penjajahan.
“Sejarah tidak seharusnya sekadar dipelajari, sebaliknya perlu dihayati supaya generasi muda memahami tanggungjawab mereka dalam mempertahankan keamanan, keharmonian dan kedaulatan negara.
“Adalah penting untuk kita memahami sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menjadi asas kepada penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Milus berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian menerusi pengumuman kadar interim pemberian khas RM1.5 bilion kepada kedua-dua negeri sempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Turut hadir Pegawai Penerangan Kota Belud, Rosnaniwati Rosli; Pengerusi SAR Nur Taqwa, Haji Ladim Abdul Rahman; Guru Besar, Nur Ezza Wahab; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kadizah Alimun serta Ketua Kampung Kayu Putih, Azrin Gaya.



