
MIRI – Pemilikan rumah tidak wajar dilihat sekadar aset hartanah semata-mata, sebaliknya ia merupakan komitmen jangka panjang dan asas penting dalam perancangan masa depan sesebuah keluarga.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, langkah membeli kediaman merupakan titik permulaan kepada pembentukan keluarga, justeru pembeli perlu memahami pilihan serta sumber kewangan yang tersedia sebelum membuat sebarang keputusan.
Mengulas mengenai penganjuran SHEDA Miri Home and Property Roadshow 2026 di Bintang Megamall pada Jumaat, beliau menyifatkan acara tersebut sebagai platform ideal yang menghimpunkan pelbagai pemain industri hartanah dan sektor berkaitan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pilihan kediaman yang tersedia, serta memahami sumber pembiayaan yang boleh dimanfaatkan dalam proses memiliki rumah.
“Keputusan berkaitan pemilikan rumah perlulah dibuat berdasarkan keperluan sebenar dan kemampuan kewangan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan bersempena dengan program berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran siri penjelajahan (roadshow) itu amat bertepatan dalam menghubungkan industri hartanah secara terus dengan masyarakat, di samping memudah cara orang ramai mendapatkan khidmat nasihat perancangan pemilikan kediaman yang komprehensif.
Dalam pada itu, Adam turut merakamkan penghargaan kepada Cawangan SHEDA Miri, jawatankuasa penganjur, serta semua pempamer yang mengambil bahagian atas inisiatif menjayakan program tersebut.
Katanya, usaha sedemikian wajar diteruskan secara konsisten bagi memperkukuh hubungan antara pemain industri dan komuniti, sekali gus memastikan masyarakat mempunyai akses mudah kepada maklumat sahih ketika membuat perancangan pelaburan hartanah mereka.
SHEDA Miri Home and Property Roadshow 2026 yang bermula pada jam 10.30 pagi hari ini, menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri swasta berkaitan sektor hartanah dan perumahan.



