
LAWAS – Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun maut selepas dipercayai terkena tembakan rakan sendiri yang menyangkanya haiwan buruan ketika memburu di kawasan hutan Ulu Merarap pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden (DSP) Liong Tindan berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun kini ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.
Menurut beliau, insiden tragis itu dipercayai berlaku pada jam 1.30 pagi ketika mangsa bersama suspek dan seorang lagi rakan sedang melakukan aktiviti memburu di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah melepaskan tembakan selepas menyangka mangsa sebagai haiwan buruan.
“Selepas menyedari tembakan tersebut mengenai mangsa, suspek terus memanggil rakannya untuk meminta bantuan. Namun, apabila dihampiri, mangsa didapati telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Liong menjelaskan, suspek bersama pengadu kemudiannya bergegas ke Balai Polis Lawas dan membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.59 pagi.
Susulan daripada itu, sepasukan anggota polis telah dikejarkan ke lokasi insiden dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di atas sebuah laluan jalan balak.
“Pemeriksaan di kawasan kejadian menemukan dua laras senapang patah, termasuk satu yang dipercayai digunakan ketika kejadian, dan kedua-duanya telah dirampas untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian turut dibantu oleh Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, manakala mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lawas untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada penyalahgunaan dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. Pihak polis turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.






